Sejarah Sekolah


SEJARAH SEKOLAH
Pada pertengahan tahun 1946, orang-orang kampung telah bermuafakat untuk mendirikan sebuah sekolah demi untuk membolehkan anak-anak mereka dapat mengenal huruf dan mempelajari selok-belok agama Islam.
Bangunan sekolah ini telah didirikan di atas sebidang tanah yang luasnya kira-kira 0.72 hektar sumbangan Tuan Hj. Hashim Bin Ronosentono selaku ketua kampung ketika itu. Beliau juga  merupakan orang yang bertanggungjawab dalam pembinaan sekolah ini.
Setelah bangunan sekolah ini siap pembinaannya, ianya terbiar begitu sahaja selama lebih kurang setahun lamanya. Masalah besar yang dihadapi ketika itu ialah ketiadaan murid dan ketiadaan guru sebagai tenaga pengajar. Hanya pada tahun 1949, atas usaha gigih Tuan Haji Hashim selaku ketua kampung telah mendapatkan seorang guru iaitu En. Salimon Bin Haji Yunus. Dengan kedatangan guru tersebut maka persekolahan dapat dijalankan dengan muridnya seramai 120 orang ( jumlah keseluruhan bagi 1 tahun ).
Keadaan pertambahan murid ini telah menyebabkan keadaan belajar yang kurang selesa dan En. Salimon telah meminta jasa baik Tuan Haji Hashim untuk memujuk En. Salikon bin Mufrad untuk bertugas di sekolah ini. Meskipun pada mulanya En. Salikon merasa keberatan, namun kerana mengenangkan inilah satu-satunya cara untuk beliau berkhidmat kepada bangsa maka akhirnya beliau bersetuju.
Pada masa ini sekolah ini lebih dikenali dengan panggilan sekolah Fardhu Ain kerana pelajaran agama adalah dititik beratkan disamping pelajaran membaca & menulis. Setelah enam bulan sekolah ini berjalan dengan lancar, sekolah ini telah didatangi oleh Guru Pelawat Sabak Bernam dan menasihatkan supaya nama sekolah ini ditukar sekolah Melayu dan didaftarkan. Maka sejak dari itu sekolah ini terus didaftarkan dan ditadbirkan dibawah pengawasan Pejabat Pelajaran. Seorang guru besar telah dihantar bertugas iaitu En. Mohd Thani Bin Arif.
                    KEPERLUAN MENDIRIKAN SEKOLAH DI KAMPUNG INI       
Memandangkan sekolah-sekolah yang ada ketika itu agak jauh dari kampung ini, maka Tuan Haji Hashim telah memikirkan bahawa di kawasan ini perlu didirikan sebuah sekolah demi untuk kemudahan anak-anak penduduk kampung ini mungkin tidak terjamin sekiranya anak-anak penduduk kampung ini terpaksa belajar di tempat yang jauh. Selain dari masalah itu, kedudukan kampung ini yang terletak di antara kampung-kampung yang berdekatan juga mempengaruhi penubuhan sekolah ini. Kampung-kampung yang terlibat adalah Kampung Tebuk Marso,Kampung Parit Chabang, Kampung Baroh dan Kampung Parit 1,2 dan 3.
NAMA SEKOLAH
Pada asalnya sekolah ini dinamakan sekolah Fardhu Ain Sungai Limau kerana pelajaran yang diajar adalah menitikberatkan pelajaran keagamaan. Kemudian sekolah ini ditukar nama Sekolah Rakyat Sungai Limau selaras dengan nama sekolah-sekolah yang berhampiran. Setelah sekolah ini didaftarkan, nama sekolah ini bertukar lagi kepada Sekolah Melayu Sungai Limau dan sekali lagi mengalami pertukaran atas arahan Jabatan Pelajaran Selangor kepada Sekolah Kebangsaan Sungai Limau.
ss
LAMBANG KEMEGAHAN SEKOLAH
Sekolah mempunyai lambang ( rajah 1 ) yang memberi pengertian :
Usaha Maju    – Kita dikehendaki berusaha untuk terus maju.
Obor    – Semangat yang berkobar-kobar untuk menjamin kejayaan pada masa depan
2 Tangkai Padi – Sekolah ini yang letaknya berhampiran sawah padi dan padi merupakan    sumber kewangan utama penduduk di sini.
LAGU SEKOLAH
Pada tahun 1988 sekolah telah berjaya mencipta lagunya sendiri yang bertajuk Usaha Maju. Lagu ini adalah ciptaan En. Amat Amin bin Khairon dibantu oleh Cik Radiah bt Hasbollah dan liriknya telah ditulis oleh En. Abd Manaf bin Ahmad selaku Guru Besar.
SEJARAH INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN ASAS
1.Bangunan Asal
Bangunan asal sekolah yang mula-mula dibina berbentuk huruf L yang dibina secara bergotong-royong oleh orang-orang kampung. Panjang keseluruhan bangunan ini ialah 100 kaki  dan 24 kaki lebar, dibina menggunakan bahan binaan kayu dan beratapkan zink. Bangunan ini juga berdinding separuh dan berlantaikan simen. Kos pembinaanya adalah berjumlah RM500.00 ringgit yang mana sumber kewangannya adalah dari wakaf orang kampung dan sebahagiannya pula adalah sumbangan peribadi Tuan Haji Hashim.
Mengikut sejarahnya kayu-kayu untuk membina bangunan sekolah ini telah dibeli dari sebuah kedai menjual kayu di Pekan Sabak Bernam iaitu kira-kira 10 batu dari kampung ini. Kayu-kayu itu telah dibawa dengan tongkang melalui jalan laut kerana jalan raya yang baik tidak ada. Kayu-kayu tersebut telah dipunggah di Pekan Sungai Besar iaitu kira-kira 2 batu jauhnya dari kampung ini. Orang-orang kampung telah mengangkut kayu tersebut ( dengan cara dipikul ) pada waktu malam kerana kebanyakan dari orang kampung ini bekerja di sawah atau di kebun pada waktu siang.
BANGUNAN TAMBAHAN A
Bangunan ini telah dibina pada tahun 1961 dan siap pada tahun 1962. Upacara perasmiannya pula telah dilakukan oleh Yang Berbahagia Dato’ Abu Bakar Baginda selaku Menteri Besar Selangor. Bangunan yang mengandungi tiga buah bilik darjah dan sebuah bilik guru besar dibina hasil perjuangan orang-orang kampung yang mahukan bangunan sekolah yang lebih selesa.
BANGUNAN TAMBAHAN B
Dari setahun kesetahun, murid sekolah ini terus bertambah. Bangunan asal yang dibina oleh orang-orang kampung telah semakin usang dan tidak selamat lagi untuk digunakan. Memandangkan kepada masalah ini maka pada tahun 1968 pihak kerajaan telah meluluskan satu blok bangunan dua tingkat ini telah dimulakan dari awal tahun 1966 dan siap setahun kemudiannya.
Bangunan baru ini dilengkapi dengan sebuah pejabat, bilik Guru Besar, enam buah bilik darjah, empat buah tandas dan sebuah setor. Bersama-sama dengan pembinaan bangunan ini juga dibina dua buah rumah guru, sebuah kantin dan tempat meletak kereta. Dengan terbinanya bangunan baru ini maka bangunan asal yang dibuat oleh orang-orang kampung telah dirobohkan dan tapak bangunan itu menjadi sebahagian daripada padang yang ada sekarang.
KEMUDAHAN-KEMUDAHAN LAIN
i.            Sebuah padang untuk pendidikan jasmani dan latihan-latihan permainan.              ( Tidak cukup luas untuk dibuat padang bola sepak )
ii.            Sebuah gelanggang konkrit untuk permainan bulu tangkis dan sepak takraw
iii.            (1986) Padang permainan kanak-kanak sumbangan dari Yang Berhormat Haji Ariffin bin Haji Mat     Rawi, Ahli Dewan Undangan Kawasan Sungai Panjang serta sumbangan Majlis Daerah Sabak Bernam.
iv.            (1986) Sebuah bangunan aquarium dan rumah burung bernilai RM2,000.00 sumbangan Yang Berhormat Dato’ Haji Jamaludin bin Haji Suhaimi, Ahli Parlimen Sabak Bernam bernilai RM10,000.00.
v.            (1987) Sebuah rumah bacaan ( sekarang ini digunakan untuk Pusat Sumber 1 ) sumbangan Yang Berhormat Haji Hussien bin Haji Taib, Ahli Parlimen Sabak Bernam bernilai RM2,500.00
vi.            (1988) Tembok di pintu masuk ke kawasan sekolah sumbangan dari PIBG bernilai RM500.00
vii.            (1989) Sebuah pondok bacaan sumbangan dari Pejabat Daerah Sabak Bernam bernilai RM3,000.00
(PENGASAS)
SEJARAH PENTADBIRAN SEKOLAH
PENGETUA / GURU BESAR
Semenjak sekolah ini ditubuhkan, seramai 10 orang Guru Besar telah bertugas di sekolah ini mengikut tempoh yang tertentu.
Guru Besar yang pertama ( walaupun jawatan tersebut adalah tidak rasmi tetapi menjalankan tugas sebagai Guru Besar ) ialah En. Salikon Bin Mufrad. Sepanjang khidmat beliau di sekolah ini selama setahun dua bulan, jasa beliau amatlah banyak untuk diperkatakan. Sebagai seorang patriot yang berjiwa besar dan prihatin terhadap nasib anak bangsanya yang buta huruf ketika itu telah pergi dari rumah ke rumah sekitar kampung Sungai Limau ini untuk memujuk orang-orang kampung supaya menghantar anak mereka ke sekolah. Ternyata usaha gigih beliau dan sokongan kuat dari Tuan Haji Hashim selaku ketua kampung telah mendatangkan hasil. Ramai anak-anak kampung ( tidak mengira umur ) telah ke sekolah ini untuk belajar.
En. Salikon yang bekerja secara sukarela hanya mendapat bayaran melalui yuran yang dikenakan keatas pelajar-pelajarnya. Seorang murid dikenakan bayaran sebanyak RM1.00 sebulan. Murid-murid miskin dan anak yatim dikecualikan dari membayar yuran tersebut. Bayaran yang diperolehi oleh beliau itu sebahagian daripadanya digunakan untuk membeli kapur tulis, membuat papan hitam dan membeli keperluan mengajar yang lain. Pada waktu ini sekolah ada menerima bantuan biskut dan susu dari kerajaan Inggeris untuk tempoh selama 3 bulan.
Pada awal tahun 1950, setelah sekolah ini didaftarkan seorang Guru Besar yang telah ditauliahkan secara rasmi oleh kerajaan Inggeris telah dihantar untuk berkhidmat. Beliau adalah En. Mohd Thani bin Arif yang berasal dari Kuala Kubu dan pernah mengajar di sekolah Batu 37 Sabak Bernam. Dalam tempoh perkhidmatannya di sekolah ini, beliau telah menjalankan kempen dari rumah ke rumah supaya lebih ramai lagi anak-anak penduduk kampung ini yang datang ke sekolah tidak kira sama ada lelaki atau perempuan. Ternyata usaha beliau juga mendapat sambutan orang ramai. En. Mohd Thani bin Mohd Arif telah menamatkan perkhidmatannya di sekolah ini pada 15hb Januari 1956.
Pada 30hb Januari 1956 En. Nurudin Bin Ishak telah memulakan tugasnya di sekolah ini bagi mengisi jawatan Guru Besar yang telah dikosongkan oleh En. Mohd Thani bin Arif. Beliau berasal dari Tanjung Karang, Selangor. Semasa beliau berkhidmat di sekolah ini, beliau telah mengadakan mesyuarat dengan Ahli Jawatankuasa Sekolah untuk memohon sebuah bangunan baru dari pihak kerajaan. Langkah ini perlu memandangkan bilangan pelajar-pelajar yang bertambah dari semasa ke semasa.
En. Nurudin bin Ishak menamatkan perkhidmatannya di sekolah ini pada 28hb Februari 1960. Walaupun sehingga tempoh tamat beliau berkhidmat di sekolah ini  bangunan yang dipohon masih belum dibina tetapi persetujuan dari pihak kerajaan telah diperolehi bagi membina sebuah bangunan yang baru yang lebih baik dan selesa.
Pada 1hb Mac 1960, En. Ahmad bin Endin telah datang untuk bertugas bagi menggantikan tempat Guru Besar yang lama. Semasa beliau bertugas sebagai Guru Besar di sekolah ini bangunan baru (sekarang dikenali sebagai Bangunan A) telah dibina. Upacara perasmian bangunan tersebut telah dilakukan oleh Menteri Besar Selangor yang ketika itu iaitu Dato’ Abu Bakar Bin Baginda pada 9hb Julai 1963. En. Ahmad Bin Endin telah menamatkan perkhidmatannya di sekolah ini pada 31hb Disember 1965.
Pada 1hb Januari 1966, En. Saidina Amin Bin Husin memulakan tugasnya sebagai Guru Besar. Beliau berasal dari Kuala Kubu Bharu Selangor. Semasa beliau berkhidmat di sekolah ini, bilangan muridnya telah bertambah menjadi hampir 200 orang. Keadaan ini telah memaksa beliau untuk mengadakan mesyuarat dengan Ahli Jawatankuasa Sekolah bagi memohon sebuah bangunan baru yang lebih besar. Semasa pentadbiran beliau ,sebuah bangunan baru dua tingkat telah dibina bagi menampung keperluan pertambahan murid yang sentiasa meningkat. En. Saidina Amin Bin Husin telah menamatkan perkhidmatannya di sekolah ini pada 31hb Disember 1970.
Pada 1hb Januari 1971 En. Ahmad Bin Ramli memulakan tugasnya selaku Guru Besar. Beliau hanya bertugas di sekolah ini selama dua tahun sahaja. Sepanjang perkhidmatan beliau di sekolah ini selama 2 tahun sahaja. Sepanjang perkhidmatan beliau di sekolah ini beliau telah meneruskan usaha-usaha Guru Besar lama dalam meningkatkan prestasi sekolah. Beliau menamatkan perkhidmatannya pada 31hb Mac 1972.
Tempat En. Ahmad bin Ramli telah digantikan oleh En. Abdullah Bin Jaman yang memulakan tugasnya pada 1hb April 1972 dan berakhir pada 31hb Disember 1972.
Pada 1hb Januari 1973 Kapt. Nordin Bin Wahid mula memegang jawatan Guru Besar. Beliau berasal dari Bangi Selangor. Prestasi sekolah terus bertambah baik semasa sekolah dalam jagaan beliau. Beliau menamatkan perkhidmatannya pada 31hb Disember 1979.
Tempat Kapt. Nordin Bin Wahid telah digantikan oleh En. Abd Manan Bin Sulaiman yang memulakan tugasnya pada 1hb Januari 1972. Beliau berasal dari Pahang. Di samping menekankan soal pelajaran, beliau juga mengambil berat tentang sukan dan permainan. Semasa beliau bertugas di sekolah ini banyak kejayaan dalam sukan dan permainan telah dicapai yang sekali gus telah mengharumkan nama sekolah ini.
Setelah En. Abd Manan Bin Sulaiman ditukarkan ke sekolah Seri Bahagia kerana kenaikan pangkat, tempat beliau telah digantikan pula oleh En. Abd. Manaf bin Ahmad. Beliau adalah merupakan anak tempatan Sungai Besar yang pertama menjadi Guru Besar di sekolah ini. Disamping kesungguhan beliau dalam meninggikan prestasi pendidikan di sekolah ini , beliau juga sangat memandang berat dalam soal kebersihan dan kecantikan kawasan sekolah serta berusaha bersungguh-sungguh dalam menyediakan kemudahan sekolah. Semasa beliau sekolah ini telah menyandang gelaran johan kebersihan sekolah-sekolah Negeri Selangor dalam tahun 1985.
BADAN PENGURUS SEKOLAH DAN PIBG
Peringkat awal sekolah ini ditubuhkan, pentadbiran sekolah ini dibantu sepenuhnya oleh satu badan yang dipanggil Jawatankuasa Sekolah.
Jawatankuasa Sekolah terdiri dari :-
Penasihat                 : Haji Hashim Bin Ronosentono
Pengerusi                 : Guru Besar
Ahli Jawatankuasa   : 1. Haji Ramli
                                   2. En. Tukiman
                                   3. En. Dol Kadir
Antara tugas Jawatankuasa Sekolah ialah membincangkan apa saja perkara yang bersangkutan dengan sekolah seperti masalah menambah bilangan murid, kekurangan kelengkapan, masalah bangunan dan kerja gotong-royong yang melibatkan orang-orang kampung.
SEJARAH PENTADBIRAN SEKOLAH
GURU BESAR
1.        MOHD THANI BIN ARIF         23.07.1950 – 15.01.1956
2.        NURUDDIN BIN ISHAK           30.01.1956 – 28.02.1960
3.        AHMAD BIN ENDIN                01.03.1960 – 31.12.1965
4.        SAIDINA AMIN BIN HUSIN    01.01.1966 – 31.12.1970
5.        AHMAD RAMLI BIN BIDIN    01.01.1971 – 31.03.1972
6.        ABDULLAH BIN JAMAN         01.04.1972 – 31.12.1972
7.        KAPT NURDIN BIN WAHID    01.01.1973 – 31.12.1979
8.        ABD MANAN BIN SULAIMAN 01.01.1980 – 31.12.1984
9.        ABD MANAF BIN AHMAD      01.01.1985 – 15.11.1994
10.      HJ. ABD. SANI B. MASRY         16.11.1994 – 22.7.2000
11.       PAUZI BT. AB. RAHMAN         23.7.2000 – 3.1.2007
12.       HJ. ABDUL RAHMAN B ABU BAKAR 4.1. 2007 – 17.3. 2011
13.       HJ. KHALILLULLAH B. HJ .NAWAWI   11.4. 2011 – 31.1. 2014
14.       DATIN HJH. SITI AMINAH HAY BT ABDULLAH  1.3. 2014 – sekarang

PERISTIWA-PERISTIWA BERSEJARAH
PERASMIAN BANGUNAN SEKOLAH

Pada 9hb Julai 1963 Yang Amat Berhormat Dato’ Abu Bakar Baginda yang selaku Menteri Besar Selangor telah membuka dengan rasminya Bangunan A.

LAWATAN PEMBESAR-PEMBESAR
1.   Pada tahun 1946  Pesuruhjaya Inggeris di Tanah Melayu iaitu Sir Gerald Templer beserta tentera-tentera pengiringnya telah melawat ke kampung ini dan sekaligus melihat sekolah.
 2.    Pada 20hb Nov 1986 YAB Dato’ Haji Mohamad Bin Mohamad Taib telah datang ke sekolah ini bagi    upacara penyerahan hak milik tanah penduduk-penduduk kampung Sungai Limau yang diadakan di sekolah ini. Dalam majlis tersebut, Yang Amat Berhormat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10,000.00 bagi sekolah ini membeli alat untuk Pusat Sumber Sekolah. Alat-alat tersebut ialah :
              i. Sebuah TV warna berukuran 20”
             ii. Sebuah perakam video
             iii. Dua buah komputer APPLE LINGGO beserta pencetak.
3. Pada 18hb Julai 1987 Dato’ Mohd Husein bin Ahmad, Pengarah Pendidikan Negeri Selangor membuat lawatan ke sekolah ini.
4.   Pada 22hb Ogos 1988 lawatan sambil belajar oleh serombongan pelajar-pelajar dari negara Jepun.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...